Sunday, 11 December 2011

Rakyat perlu terus sokong BN: Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana terbukti ia mampu memenuhi keperluan rakyat, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan BN memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira kaum sejak dari zaman selepas merdeka lagi.

"Apa sebabnya kita nak tukar kepada parti lain? Ada orang suruh tukar sebab kononnya BN ini jahat, pencuri, penyangak, korupsi dan sebagainya tetapi mereka (parti lain) belum diuji macam kita (BN).

"Ada pepatah Inggeris kata, kita jangan sesekali cuba baiki sesuatu perkara yang sudah berjalan dengan baik kerana kalau salah baiki, nanti lain jadinya. Begitu juga dengan sokongan kepada BN... dasar pemerintahan BN yang seimbang untuk semua kaum dilihat sudah cukup baik.

"Jadi tidak perlulah tukar kepada kerajaan yang belum tentu lagi mampu membela nasib rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Bicara Negarawan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Umno bahagian Ampang di Dewan Datuk Setia Mufti Suib, hari ini.

Dr Mahathir berkata, rakyat perlu memberi sokongan berterusan kepada BN kerana ia dapat membantu dalam membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan mampu berkhidmat demi kebaikan seluruh rakyat serta membina negara yang berjaya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan kerajaan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974, beliau berkata akta itu diwujudkan demi menjaga kepentingan pelajar Melayu.
"Pada zaman itu, lebih ramai pelajar Melayu yang aktif berpolitik berbanding kaum lain. Akta itu diwujudkan bagi memastikan mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dan seterusnya berjaya.

"Orang Melayu, sudahlah tidak ramai yang terpelajar, bila masuk universiti sibuk berpolitik pula, bila masa nak belajar? Saya sendiri aktif berpolitik masa muda dulu, tapi apabila melanjutkan pelajaran, saya tinggalkan dunia politik hampir enam tahun dan belajar saja," katanya.

Pada 24 November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan meminda AUKU bagi membenarkan mahasiswa menjadi anggota parti politik. - BERNAMA
Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RakyatperluterussokongBN_TunMahathir/Article

Sunday, 16 October 2011

Enggan minta maaf tindakan 'kurang ajar': Tun Dr Mahathir

SERI ISKANDAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan keengganan Profesor Dr Abdul Aziz Bari memohon maaf serta menarik balik kenyataannya yang mempertikai titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan gereja di Damansara Utama Ogos lalu, 'sebagai kurang ajar'.

Beliau berkata kenyataan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertentangan dengan moral masyarakat Timur dan boleh disifatkan sebagai kurang ajar dalam bahasa Melayu.
"Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) Ke-11 hari ini.
Dr Mahathir, yang juga Canselor UTP, diminta mengulas kenyataan Dr Abdul Aziz yang disiarkan sebuah portal berita bahawa tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukan sesuatu tindakan yang lazim.

Abdul Aziz dilaporkan berkata sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Terdahulu, Dr Mahathir menyampaikan Anugerah Canselor Emas kepada graduan Sarjana Muda Kepujian Kejuruteraan Awam Lai Chin Leong, 23, berikutan kecemerlangannya meraih purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.89.

Muhammad Aiman Jamaludin, 22, T. Kuhanesapathy, 23, pula menerima Anugerah Canselor Perak dan Gangsa. - BERNAMA

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Engganmintamaaftindakan_kurangajar__TunDrMahathir/Article

.: komputersaya.com : Ilmu Komputer & Bisnes :.